17 Kesalahan Dalam Berblog Yang Anda Lakukan

Dalam kita seronok menulis blog, pasti kita terfikir apa kesalahan dalam blog yang secara tak sedar kita lakukan. Sepanjang 7 tahun berblog ada banyak sangat kesalahan dalam berblog yang aku buat yang kalau boleh aku nak elak dari awal berblog lagi.

Jadi hari ini aku nak kongsikan beberapa kesalahan yang aku pernah lakukan sepanjang berblog dan mungkin sehingga kini masih juga melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang. 

17 Kesalahan Dalam Berblog Yang Anda Lakukan

17 Kesalahan Dalam Berblog Yang Anda Lakukan

1. Menggunakan font yang sukar untuk dibaca 

Kesilapan pertama dalam berblog ialah menggunakan font yang sukar untuk dibaca. Kesilapan dalam pemilihan font menghilangkan mood pembaca untuk meneruskan bacaan artikel di blog. Apabila nak baca blog, biasanya aku akan perhatikan tulisan yang digunakan sebab aku mempunyai rabun silau. 

Kita kena faham pembaca blog ini mempunyai pelbagai latar belakang. Ada yang rabun, ada yang remaja dan dewasa. Jadi pemilihan font yang kurang sesuai merupakan kesilapan paling utama dalam menulis blog. 

Sebelum memilih font, pastikan korang :
  • Memilih font yang tidak terlalu kecil saiznya ataupun terlalu besar
  • Semak font pada paparan mobile dan desktop / laptop
  • Gunakan warna font yang gelap (Latar belakang cerah) dan menggunakan font yang cerah untuk yang berlatar belakang gelap
  • Tidak menggunakan font jenis tulisan berangkai
  • Maksimum 3 jenis font sahaja

2. Plagiat artikel orang lain

Dulu aku juga suka copy dan paste ataupun plagiat artikel orang lain. Sekarang masih juga cuma dengan lebih beretika seperti meminta kebenaran, meletakkan link dan sumber asal. Tak salah mengambil idea orang lain dan dioleh mengikut gaya penulisan kita. 

Cuma yang kebanyakkan blogger tak suka tu apabila kita copy paste bulat-bulat artikel dan menjadikan artikel itu seperti kita yang tulis. Ada yang copy termasuk dengan intro dia sekali. 

Kalau korang ketandusan idea, boleh pergi laman Hello Doktor. Blog tu memang mereka izinkan kita copy paste di blog. Asalkan kita backlink ke blog mereka. 

stop plagiarism

3. Tidak meletakkan butang sosial share

Tidak meletakkan butang sosial share juga merupakan kesilapan yang dibuat oleh sesetengah blogger. Bayangkan pembaca suka dengan konten kita tetapi tiada butang share ke media sosial. Jadi rugi sangat tau. 

4. Tidak meletakkan gambar dalam artikel

Kebanyakkan blogger baru tidak menitikberatkan soal gambar dalam artikel. Penting sangat penggunaan gambar di blog walaupun cuma sekeping foto. Korang boleh guna gambar di pixabay, unsplash, pexels dan canva.

5. Tidak meletakkan profile blog

Profile blog sangat penting sebab pembaca ni nak tahu siapa disebalik orang yang menulis artikel tu. Blogger yang tidak meletakkan profile blog seperti About Me ataupun di sebelah sidebar kurang mendapat kepercayaan daripada pembaca. 

Sebagai contoh, blog korang berkongsi tentang artis atau isu semasa. Mesti mereka nak tahu kesahihan info tersebut dengan melihat siapa penulisnya. Apatah lagi niche blog yang mempunyai unsur kontroversi dalam penulisan. 

6. Kesalahan dalam penggunaan label

Ramai juga yang keliru dengan penggunaan label blog. Label tak macam hastag ya kawan-kawan. Jadi korang tak perlu buat label terlalu banyak. Sebagai contoh, korang buat label 'blogging', 'blog', 'berblog' padahal ia membawa maksud yang sama juga. 

7. Hilang fokus menulis sebab semua benda nak ditulis

Yang ini pun ramai juga blogger buat. Semua benda kita nak sumbat dalam blog. Pendidikan, parenting, kecantikan, isu politik. Salah ke nak tulis apa sahaja? Kan blog korang juga kan? Suka hati nak tulis apa. 

Ya memang betul. Blog kita suka hati kita nak tulis apa sahaja. Cuma kenalah bersesuaian dengan niche blog. Misalnya Lifestyle blogger sangat sesuai kalau korang nak buat konten rojak. Tak kisahlah nak cerita pengalaman, aktiviti harian, apa korang beli, atau kat mana korang travel. 

Apa yang aku bagitau ini sebab ramai yang tanya dah banyak tulis tetapi pageviews tak juga naik-naik. Sebab konten blog korang tidak menepati sasaran pembaca. 

Apabila kita sumbat semua benda kat blog kita ingat boleh dapat lebih ramai pembaca? Sebenarnya TIDAK. 


8. Mengharapkan trafik datang sendiri

Yang ini ciri-ciri yang ada pada aku dulu. Hari-hari update blog tetapi hairan trafik tak pandai datang. Of course lah kurang trafik sebab tak kongsikan di media sosial. Buat blog senyap-senyap lepas tu mengharap orang lain jumpa blog kita. 

Bukan begitu mainan Google ya haha. Kena ingat setiap hari ada sahaja yang buat blog baru. Jadi persaingan sangat banyak. Sebagai contoh korang tulis pasal 'tips kurus'. Terdapat 11,900,000 hasil carian untuk keywords 'tips kurus'. Kita tak tahu blog kita di ranking ke berapa. 

9. Meletakkan expectation terlalu tinggi

Ada juga blogger yang meletakkan expectation yang terlalu tinggi pada blog mereka. Tulis 4 - 5 artikel sahaja sebulan tetapi membuat jangkaan akan dapat 100k pageviews sebulan. 

Blog Inspirasi nak dapatkan 10k pageviews sebulan pun selepas aku menulis 50 artikel ke atas. Sekarang artikel blog dah mencecah 276 pun paling tinggi aku dapat ialah 80k pageviews sebulan. 

Nak dapat 9 Juta pageviews secara keseluruhan pun aku tulis sebanyak 612 artikel di Blog Sii Nurul. 

Blog yang income google adsense sebulan mencecah 3k - 4k USD pun tulis 450 artikel sebulan. Macam mana aku tahu? Sebab aku pernah handle klien yang mempunyai pendapatan hampir RM10,000 setiap bulan. 

10. Tidak menggunakan ejaan yang penuh

Sekarang masih ada lagi ke blogger yang menulis di blog menggunakan bahasa sanskrit atau bahasa SMS? 

"Aque SukEW BaCa BeLog Ini" Macam nak menyumpah pun ada kan. Hahaha Nak baca sampai terbelit-belit lidah dah. 

Tulislah dengan gaya penyampaian yang mudah difahami, santai dan menggunakan ejaan yang penuh. Ini blog, korang nak tulis panjang pun tak apa. 

Lainlah kalau kat facebook, instagram atau twitter. Disebabkan di media sosial mempunyai posting yang terbatas, jadi tak hairanlah sekiranya ramai yang tak menulis dengan ejaan yang penuh. 

11. Buat perbandingan yang salah

Ramai juga yang membuat perbandingan blog yang salah. Misalnya membandingkan blog korang yang baru sebulan dengan blogger yang dah 5 tahun berblog. 

Kita boleh jadikan blogger famous, sifu, dan otai sebagai inspirasi dan motivasi dalam menulis blog. Tetapi kalau nak bandingkan pencapaian kita dengan blogger otai memang tak samalah. Jauh lagi perjalanan kita. 

12. Tidak menentukan pembaca sasaran

Setiap kali menulis artikel kita kena fikirkan siapa sasaran pembaca kita. Sebagai contoh artikel berkenaan dengan 'haid yang tidak teratur' mempunyai sasaran pembaca dalam kalangan remaja perempuan dan golongan wanita dewasa. 

Apabila kita tahu siapa pembaca blog, senang untuk kita kembangkan idea dalam penulisan. 

13. Tidak konsisten dalam menulis blog

Antara kesalahan berblog yang sering dilakukan oleh blogger baru ialah tidak konsisten dalam menulis blog. Tidak konsisten dari segi jumlah posting blog dan waktu publish artikel. Selain itu, korang jangan sesekali meninggalkan blog terlalu lama. 

Contohnya, blog korang baru 3 bulan, mula-mula rajin post. Semakin hari jumlah posting semakin berkurang. Malah ada yang membiarkan ruang (gap) artikel terlalu panjang. 

Bulan Januari, tulis 5 artikel. Kemudian, sekali post lagi bulan 10. Pembaca pun dah lari sebab ingat dah tak update blog. 

14. Menulis artikel terlalu pendek 

Biasakan diri untuk menulis artikel yang panjang di blog. Minimum 500 patah perkataan. Dan kalau dapat tulis lebih lagi bagus. 

Cara supaya dapat menulis dengan jumlah patah perkataan yang banyak adalah dengan menyenaraikan point penting dahulu sebelum dihuraikan dengan lebih mendalam. 

Selain itu, korang juga boleh guna cara ini :
  • Tajuk blog
  • Isi kandungan (sub-topik yang nak dibincangkan dalam blog)
  • Huraian
  • Contoh 
  • Rujukan 
  • Ringkasan bagi setiap topik
Sama seperti kita buat karangan Bahasa Melayu, cuma bezanya adalah kita menyampaikan dalam gaya penulisan yang lebih santai, mudah difahami dan menggunakan bahasa yang lebih ramah.

15. Tidak melakukan promosi 

Selepas buat blog, korang hendaklah melakukan promosi dengan menyebarkan link blog dan memberitahu keluarga, kawan-kawan, jiran terdekat, mahupun kawan-kawan blogger korang yang korang dah kemaskini artikel di blog. 

Kesalahan blogger baru, korang rasa malu nak kongsi kan. Sekiranya korang rasa belum masanya lagi untuk berkongsi dengan individu yang terdekat, cuba untuk follow group facebook atau telegram yang berkaitan dengan niche blog. 

Pastikan juga group yang korang follow itu tidak mempunyai masalah untuk berkongsi link-link dari blog korang. Jangan follow group yang buat peraturan tak boleh berkongsi link artikel. Nanti facebook atau link blog korang kena report pula. 

Nak lagi mudah buat Facebook Page dan Channel Telegram untuk blog dan invite lebih ramai orang untuk follow dan like page kita. 

16. Banyak gangguan dan suka bertangguh

Salah satu kesalahan berblog ialah manjakan diri dengan sikap suka menangguh kerja. Bayangkan korang dah ada masa, dah ada idea nak tulis apa kat blog. 

Tetapi apabila nak tulis kat blog sempat lagi nak tengok Drama Korea. Nak tonton drama pun dah ambil masa berapa lama. 

Lepas tu, habis drama sambung pula buka facebook, tiktok, instagram tengok feeds orang lain. Akhirnya blog langsung tak berupdate. Nak update pun tengok jam dah lewat. Nak kena buat kerja lain lagi. 

Pointnya di sini, tahan diri dahulu. Tulis apa yang korang patut tulis dahulu. Lepas tu nak menonton drama ke, nak luangkan masa untuk media sosial yang lain pun tak apa. Memang nak jadi blogger kena lebih berdisiplin. 

17. Cepat mengalah dan tidak bersabar

Ini adalah realiti. Menulis blog memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Blogger yang ingin mendapat hasil yang cepat kebanyakkan tidak akan bertahan dalam dunia blog. Tempoh matang sesebuah blog mengambil masa selama 2 - 3 tahun. 

Nak buat blog senang sahaja sahabat. Namun tidak ramai yang konsisten untuk menulis. Malahan ada yang mengalah dan mengundurkan diri. Dan yang bertahan, bersabar dan terus istiqamah itulah yang berjaya. InsyaAllah. 

Kesimpulannya

Bukan senang nak jadi blogger. Apatah lagi yang menjadikan blogging sebagai kerjaya. Apa yang aku kongsikan di sini ialah kesalahan yang aku pernah lakukan dari awal jadi blogger sehinggalah sekarang. 

Buat salah itu perkara biasa kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, yang penting kita usaha untuk memperbaiki dan menjadi lebih baik lagi.

Aku nak korang tahu menulis blog tidak seindah yang korang nampak. Seronok dapat pergi event, dapat produk percuma untuk review, dapat jana income Google Adsense setiap bulan dan sebagainya.

Realitinya, kalau korang pergi event kena keluarkan banyak kos sendiri seperti pengangkutan, minyak kereta. Lepas tu bersengkak mata pula nak buat artikel sebab nak submit sebelum dateline. Payment pula selepas berbulan baru dapat. Ada yang langsung tak dapat apa.

Belum cerita lagi ibu yang mempunyai anak ramai. Mana nak urus rumah dan anak-anak lagi. Korang tengah seronok nak menaip, anak menangis menyusu. Suami baru balik kerja nak kena sediakan makanan lagi. 

Aduh! Macam susahlah jadi blogger kan? Pening kepala.

Itulah nikmatlah jadi seorang blogger yang orang lain tak rasa. Hanya yang benar-benar suka menulis sahaja dapat merasa kepuasan berblog. 

Baiklah, sekian itu sahaja perkongsian aku. Semoga bermanfaat buat semua.

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama
Belajar Buat Blog | Panduan BlogTitle of a News Article Belajar Buat Blog | Panduan Blog Belajar Buat Blog | Panduan Blog