Menjadi seorang blogger sering kali dilihat sebagai pekerjaan yang menguntungkan. Bayangkan kehidupan di mana korang hanya perlu menulis blog, berkongsi pendapat, dan menunggu pendapatan masuk tanpa perlu banyak usaha.
Sesiapa sahaja yang memandang dari luar mungkin menyangka bahawa seorang blogger hidup dalam serba mewah kerana melakukan kerja yang sedikit sahaja.
Namun, hanya mereka yang benar-benar terlibat dalam dunia blog sahaja yang tahu bahawa realitinya jauh berbeza sekali. Dalam artikel ini aku akan membincangkan expectation vs reality dunia blogging dari kaca mata blogger.
1. Expectation: Menulis Blog Adalah Mudah dan Cepat
Menulis blog tidak memakan masa lama, hanya beberapa jam sahaja.
Reality: Menulis Artikel Mengambil Masa Berjam-Jam
Proses menulis satu artikel berkualiti sebenarnya mengambil masa berjam-jam, kadang-kadang berhari-hari. Hal ini demikian kerana blogger perlu melakukan pembacaan dan penyelidikan yang mendalam untuk memastikan fakta tepat dan benar.
Selain itu, blogger juga perlu mencari gambar yang baik samada mengambil gambar sendiri atau menggunakan gambar percuma yang ada. Menulis blog bukan sahaja tentang menulis, tetapi juga tentang mencipta konten yang berkualiti yang memberi manfaat kepada pembaca.
Blogger juga perlu memikirkan cara menyusun kandungan yang infomatif dan menarik.
Walaupun seorang blogger itu cuma menulis untuk suka-suka tetapi kebanyakkan blogger mengambil masa untuk menerbitkan artikel mereka. Hal ini demikian kerana blogger perlu mengedit untuk memperbaiki tatabahasa, ejaan, dan aliran tulisan. Penyuntingan ini penting untuk memastikan tulisan mudah difahami dan menarik.
Blog kita, sudah tentulah kita mahukan yang terbaik kan.
2. Expectation: Mudah Membuat Duit dengan Blog
Hanya perlu tulis 2-3 artikel, daftar Google Adsense, dan duit pun masuk!
Reality: Proses Mendapatkan Pendapatan Tidak Mudah
Mendaftar dengan Google Adsense sahaja tidak menjamin pendapatan segera. Ada yang mengambil masa berbulan-bulan untuk lulus, dan bahkan ada yang tidak lulus langsung. Dalam kes aku pula, ianya mengambil masa selama dua tahun sebelum mendapat pembayaran pertama sebanyak $100 dari Adsense.
Jadi selama dua tahun tu, aku hanya berblog tanpa dapat sebarang income. Malah nak dapat kerja-kerja review pun selepas beberapa tahun berblog.
Bagi blogger pemula pula biasanya akan menghadapi kesukaran untuk lulus Adsense kerana memerlukan blog dengan trafik stabil dan konten berkualiti. Jika lulus sekalipun, pendapatan dari iklan mungkin sangat rendah. Nak dapatkan $10 pun mungkin tak tercapai.
Jadi sekiranya korang ingin buat duit dengan blog bermula dari ZERO, aku nasihatkan korang fikir sekali lagi agar tidak menyesal di kemudian hari.
3. Expectation: Menjadi Full-time Blogger Dapat Banyak Job dan View
Bila jadi full-time blogger, job review dan view datang mencurah-curah.
Reality: Memerlukan Masa dan Pelaburan untuk Berjaya
Untuk mendapatkan job review pertama juga memerlukan masa. Korang perlu melaburkan wang untuk:
- Membeli domain dan hosting.
- Mungkin mengupah designer untuk reka bentuk blog yang lebih menarik.
- Melabur masa dan usaha dalam belajar SEO, pemasaran, dan cara menulis yang baik.
Selain itu, untuk menarik job, blog korang perlu menunjukkan rekod prestasi yang baik dalam trafik dan engagement. Ini adalah proses yang panjang dan memerlukan kesabaran.
Sebagai contoh blog aku sendiri aku mengambil keputusan untuk menjadi blogger sepenuh masa setelah 4 tahun berblog. Dan hanya dapat job review setelah 3 bulan menjadi fulltime blogger.
4. Expectation: Mendapat Produk Percuma, Travel, dan Sponsor dari Brand Terkenal
Seronok dapat produk percuma dan tajaan travel dari brand terkenal.
Reality: Produk Percuma Tidak Selalu Berbaloi
Sebenarnya tidak semua produk yang diberikan secara percuma itu berbaloi. Hal ini demikian kerana produk percuma tidak dapat menampung komitmen bulanan korang seperti belanja dapur, bayaran bil api dan air serta bil internet.
Ada juga produk yang diterima berbaloi tetapi kebanyakkan produk yang diterima tidak diperlukan pun.
Selain itu, ramai juga dalam kalangan blogger yang perlu menanggung kos sendiri untuk travel, seperti minyak dan penginapan. Untuk blogger, pembayaran adalah penting kerana ia merupakan sumber pendapatan utama untuk menampung kos harian.
5. Expectation: Mudah Mencipta Konten Viral
Tulis satu artikel menarik, dan ia akan menjadi viral, mendapat ribuan view dan share.
Reality: Konten Viral Memerlukan Strategi
Mencipta konten yang viral bukanlah semudah yang disangka. Walaupun korang boleh menghasilkan konten berkualiti tetapi untuk mendapatkan perhatian pembaca sehingga menjadi viral memerlukan:
- Pemahaman mendalam tentang target audiens: Korang perlu tahu apa yang menarik minat pembaca.
- Strategi pemasaran yang kuat: Ini termasuk promosi di media sosial, email marketing, dan kolaborasi dengan blogger lain.
- Keberuntungan: Faktor “viral” sering kali di luar kawalan, seperti trend semasa atau algoritma platform.
Kadang artikel yang mungkin kita tulis sekadar suka-suka itu yang menjadi viral.
6. Expectation: Menjadi Blogger Terkenal dengan Cepat
Menjadi seorang blogger yang terkenal senang sahaja kalau mempunyai pengikut yang ramai seperti Cik Epal.
Reality: Membangun Reputasi Memerlukan Masa dan Usaha Konsisten
Membangun reputasi dan mendapatkan pengikut setia memerlukan masa yang panjang dan usaha yang berterusan dalam mencipta identiti blog yang unik. Sama juga seperti influencer di TikTok atau Youtuber. Cuma bezanya platform youtube dan tiktok senang kerana orang lagi suka menonton video berbanding membaca.
Nak bangunkan personal branding bukannya mudah kerana korang perlu menghasilkan konten berkualiti secara konsisten. Selain itu, korang juga kena kekalkan engagement dengan terlibat aktif dengan pembaca melalui komen, media sosial, dan email.
7. Expectation: Blogging Adalah Sumber Pendapatan Stabil
Blogging akan menjadi sumber pendapatan utama yang stabil.
Reality: Pendapatan Blogging Tidak Konsisten
Pendapatan menulis blog tidak menentu bergantung dengan beberapa faktor. Misalnya pendapatan mungkin menurun semasa musim tertentu atau ketika pembaca kurang aktif.
Selain itu, perubahan algoritma di Google dan media sosial juga mempengaruhi trafik blog apatah lagi dengan kemunculan AI (artifiacial intelligence).
Oleh itu, untuk pendapatan stabil, blogger perlu mempelbagaikan sumber pendapatan seperti affiliate marketing, iklan, dan menjual produk atau servis. Dan ini menambahkan lagi kerja yang korang sedia ada.
8. Expectation: Setiap Post Akan Mendapat Perhatian
Setiap artikel akan mendapat banyak komen dan shares.
Reality: Banyak Post Tidak Mendapat Perhatian
Tidak semua artikel akan mendapat perhatian yang sama. Kadang kala artikel yang korang fikir akan popular mungkin tidak mendapat perhatian sama sekali sementara artikel yang ditulis tanpa fikir panjang pula mungkin mendapat engagement yang tinggi.
Kita tidak boleh jangka mana satu artikel yang akan viral walaupun artikel tersebut ditulis sepenuh hati.
9. Expectation: Kerja Sendiri, Bebas, dan Fleksibel
Kerja blogging mudah kerana boleh bekerja di mana-mana dan bila-bila sahaja.
Reality: Disiplin dan Pengurusan Masa yang Ketat Diperlukan
Kerja menulis blog memang seronok kerana ianya sangat fleksibel dan bebas tanpa terikat dengan masa dan peraturan. Walaupun begitu, korang perlu menjadi seorang yang lebih berdisplin dalam pengurusan masa.
Korang perlu menetapkan masa untuk menulis sebab sekiranya blog ditinggalkan untuk beberapa hari, minggu atau bulan ianya akan memberikan kesan seperti penurunan pageviews dan income korang.
Bagi blogger sepenuh masa, korang kena menganggap blog korang sebuah bisnes yang mendatangkan hasil. Sekiranya bisnes korang tidak dapat diuruskan dengan baik, maka pendapatan blog juga tidak akan mendatangkan hasil seperti yang diinginkan.
10. Expectation: Hanya Menulis, Tidak Perlu Kemahiran Teknikal
Hanya perlu menulis, tidak perlu tahu tentang aspek teknikal seperti SEO atau coding.
Reality: Kemahiran Teknikal dan SEO Sangat Penting
Untuk berjaya, blogger perlu menguasai beberapa kemahiran teknikal seperti
- SEO (Pengoptimuman Enjin Carian)
- Pengetahuan asas tentang platform yang digunakan (blogger/wordpress)
- Kemahiran analitik (Google Analytics, Google Search Console) agar boleh membaca data trafik
- Coding (HTML/CSS)
- Pengeditan multimedia
- Hosting atau domain
- Kemahiran menulis dan menyunting
- Pengurusan media sosial
- Pemahaman tentang Pengalaman Pengguna (UX)
Kesimpulan
Realitinya, blogging adalah pekerjaan yang memerlukan kerja keras, komitmen, dan pelaburan. Ia bukan sekadar menulis tetapi melibatkan pelbagai aspek pengurusan dan pemasaran.
Menjadi seorang blogger adalah perjalanan yang memerlukan kesabaran, dedikasi, dan kerja keras. Namun, jika dilakukan dengan betul, ia boleh menjadi kerjaya yang sangat memuaskan.
Jadi, sebelum memutuskan untuk menjadi blogger sepenuh masa, pertimbangkan segala realiti yang perlu dihadapi.
Betoi tu. Akak setuju dengan semua point nurul. 👍
BalasPadamCatat Ulasan