Langkah Demi Langkah Menulis Artikel Blog yang Berkualiti dan Mesra SEO

Menulis artikel blog yang berkualiti dan mesra SEO bukanlah satu tugas yang mudah. Ia memerlukan perancangan yang teliti, pemilihan kata kunci yang tepat, serta penyusunan kandungan yang baik agar dapat menarik minat pembaca dan memberi impak positif kepada blog korang. 

Dalam artikel ini, aku akan berkongsi langkah-langkah penting yang perlu diambil untuk menghasilkan artikel yang berkualiti, bermula dari pemilihan topik hingga kepada proses pengoptimasian SEO.

artikel mesra seo

Mengapa Menulis Artikel Berkualiti Mengambil Masa yang Panjang?

Menulis artikel berkualiti memakan masa kerana setiap langkah memerlukan ketelitian. Pemilihan topik dan kata kunci perlu tepat, manakala pengumpulan maklumat dari sumber yang sahih memerlukan masa untuk disesuaikan dengan tema. 

Selain itu, penyusunan draf, pengeditan, dan optimasi SEO juga mengambil masa untuk memastikan artikel jelas, mudah dibaca, dan berpotensi menarik trafik melalui enjin carian.

Bagi blogger baru, proses ini mungkin kelihatan panjang, tetapi ia penting untuk menghasilkan artikel yang berkesan dan mesra SEO.

1.Tentukan 'topik apa korang mahu tulis'?

Langkah pertama adalah memilih topik yang sesuai dengan niche blog korang. Untuk blogger yang ingin fokus pada pendapatan, pilih topik yang relevan dengan niche blog.

Bagi blogger baru, pilihlah topik yang korang minati. Pastikan ia masih relevan dengan pembaca sasaran.

Sebagai contoh, aku memilih topik tentang 'kehamilan' yang mana sasaran pembaca dalam kalangan wanita. 

Dengan topik dan sasaran pembaca yang jelas, korang akan lebih mudah memilih kata kunci yang sesuai. Pemilihan topik juga hendaklah berkait rapat dengan minat atau masalah yang mereka hadapi. 

Teknik Penulisan Artikel SEO


2. Pemilihan 'Kata Kunci'

Kata kunci penting dalam SEO kerana ia membantu artikel korang ditemui di enjin carian seperti Google. 

Pilih kata kunci yang relevan dan popular. Gunakan alat kata kunci percuma seperti Keyword Sheeter, Ubersuggest, Google Trends, atau Keyword Everywhere.

tips menulis blog untuk pemula

Proses ini penting kerana kata kunci yang baik boleh menarik lebih banyak trafik ke blog korang.

Sebagai contoh, aku memilih topik tentang kehamilan. Jadi kata kunci yang aku pilih adalah "Ujian Kehamilan". Gunakan kata kunci untuk mencari sumber maklumat yang korang mahukan. 

Korang boleh senaraikan kata kunci yang berkaitan dengan topik yang korang nak tulis nanti. 


3. Mencari, membaca dan mengumpul sumber maklumat

Sebelum menulis draf, aku akan mencari, membaca, dan mengumpul maklumat yang relevan dan sumber yang boleh dipercayai

Sumber yang boleh dimasukkan dalam artikel blog seperti: 

  • Sumber Gambar (bagaimana website lain menggunakan gambar berdasarkan kata kunci)

Sebagai contoh tajuk artikel ialah "ujian kehamilan". Jadi korang kena lihat di Google, Media Sosial yang lain untuk memberikan gambaran gambar yang hendak digunakan dalam artikel korang.

cara menulis artikel blog


Samada korang menggunakan gambar sendiri, menghasilkan gambar baru, atau menggunakan sumber asal gambar (dengan meletakkan kredit kepada pemilik asal) tersebut.

Gunakan Canva untuk reka bentuk gambar. Jika korang mahir dengan AI, korang boleh menghasilkan gambar menggunakan teknologi tersebut.

  • Memilih Tajuk artikel

Lihat tajuk artikel daripada penulis lain untuk topik yang sama. Bandingkan beberapa tajuk yang ada dan pilih tajuk yang paling menarik perhatian. Ini membantu korang memahami gaya dan trend yang popular dalam kalangan pembaca.

Baca kandungan artikel penulis lain untuk mendapatkan idea tentang topik yang korang mahu tulis. Kemudian senaraikan pilihan tajuk daripada artikel lain. 
  • Teruja Nak Lakukan Ujian Kehamilan? Pasangan Baru Berkahwin Ambil Tahu Ini Dulu Sebelum Buat!
  •  5 Cara Menggunakan Pregnancy Test
  • Pregnant Test Line Kabur (Pregnancy Test Not Clear)

Korang tulis tajuk artikel baru yang menarik dan relevan. Sebagai contoh :
  • Cara Betul Menggunakan Ujian Kehamilan: Tips untuk Pasangan Baru Berkahwin
  • Ujian Kehamilan Tak Jelas? Ini Cara Membaca Hasil dengan Betul
  • Kesalahan Umum dalam Pregnancy Test dan Cara Mengatasinya

  • Pilih rujukan atau sumber yang boleh dipercayai

Apabila korang dah ada tajuk, korang senang nak mencari sumber rujukan yang berkaitan. Antara rujukan terbaik adalah melalui laman rasmi organisasi, berita semasa, buku-buku yang berkaitan. 

Sebagai contoh, untuk topik kesihatan korang boleh rujuk sumber daripada :
  • http://www.myhealth.gov.my
  • www.ncbi.nlm.nih.gov
  • https://hellodoktor.com

Memilih rujukan atau sumber yang boleh dipercayai adalah langkah penting dalam menulis artikel yang berkualiti, terutamanya apabila topiknya memerlukan maklumat yang tepat dan sahih.

Laman rasmi kerajaan atau organisasi kesihatan seperti myhealth.gov.my biasanya menyediakan maklumat yang dikaji secara teliti dan disahkan. Laman-laman ini sering dikendalikan oleh pakar dalam bidang tertentu, contohnya dalam kesihatan, yang memberikan maklumat yang terkini dan sesuai dengan standard perubatan.

4. Gabungkan Maklumat dengan Pengalaman dan Pengetahuan Sendiri Sedia Ada

Salah satu cara untuk membuat artikel korang lebih unik ialah dengan menggabungkan maklumat yang korang kumpul dengan pengalaman atau pengetahuan sendiri. 

Sebagai contoh korang boleh masukkan pendapat berdasarkan pengalaman korang sendiri dengan ujian kehamilan. Bagi pasangan yang masih menunggu cahaya mata pasti banyak persoalan tentang ujian kehamilan. 
  • Bila waktu sesuai nak guna pregnancy test?
  • Apa nak buat sekiranya test positif atau negatif?
Ini akan memberikan perspektif yang lebih segar dan peribadi kepada artikel korang, menjadikannya lebih menarik untuk dibaca.



5. Buat Draf Berstruktur 

Aku pernah kongsikan cara menulis artikel blog yang berstruktur di entri sebelum ini. Struktur yang baik menjadikan artikel lebih menarik, jelas, dan teratur, serta membantu pembaca kekal fokus. 

Penggunaan heading, subheading, dan perenggan memainkan peranan besar dalam memastikan artikel berstruktur dengan baik.

Sebagai contoh jika topiknya adalah "Cara Menggunakan Pregnancy Test", isi kandungan boleh dipecahkan kepada beberapa subtopik seperti :
  •  Apa itu Pregnancy Test?
  • Langkah-langkah Menggunakan Pregnancy Test
  • Faktor yang Mempengaruhi Ketepatan Hasil
Penulisan blog yang berstruktur tidak hanya memudahkan pembaca, tetapi juga meningkatkan kualiti SEO artikel korang. 

Contoh Struktur Artikel yang Berstruktur:

H1 (Heading Utama): Cara Menulis Artikel Blog yang Berstruktur
  • H2 (Subheading 1): Pentingnya Struktur dalam Penulisan Artikel Blog
    • H3 (Subheading 2): Pendahuluan yang Menarik
    • H3 (Subheading 3): Menggunakan Isi Kandungan yang Teratur
    • H3 (Subheading 4): Kesimpulan yang Koheren
  • H2 (Subheading 5): Penggunaan Heading dan Subheading
    • H3 (Subheading 6): Apa itu Heading dan Mengapa Penting untuk SEO?
    • H3 (Subheading 7): Cara Menggunakan Heading dengan Betul

6. Gaya Penulisan Sendiri

Setelah korang mendapat gambaran draft artikel secara keseluruhan, korang bolehlah menulis dengan gaya penyampaian yang menarik dan jelas. Sebaik-baiknya menulis dengan gaya tersendiri menampakkan artikel korang lagi unik. 


7. Penyuntingan & Optimasi SEO

Selepas artikel siap, proses menyunting adalah langkah yang sangat penting. Korang perlu semak semula untuk pastikan tatabahasa betul, ayat tak berulang, dan keseluruhan artikel nampak lancar dan mudah difahami. Kadang-kadang, artikel perlu disemak beberapa kali sebelum benar-benar siap untuk diterbitkan.

Biasanya semasa dalam proses ini aku akan fokus pada bahagian gambar atau video yang berkaitan. Sebelum nak muat naik gambar di blog aku kena edit, letak watermark, meletakkan kredit, sertakan link external dan internal yang sesuai dengan topik. 

Gambar yang hendak digunakan perlu di compress supaya blog ringan dan laju. Selain itu, aku akan melakukan pembacaan berkali-kali untuk memastikan artikel mudah difahami oleh pembaca. 

Akhir sekali, aku akan melakukan optimasi SEO untuk keseluruhan artikel  termasuk memasukkan kata kunci pada tempat yang strategik, seperti :
  • Tajuk
  • Sub-tajuk
  • Meta deskripsi
  • Alt text gambar
  • Permalink
  • Pautan luar dan dalaman
  • Peletakan kata kunci
  • Penggunaan label

Kesimpulan

Menulis artikel berkualiti dan mesra SEO memang memerlukan masa, tapi semua usaha ini akan membantu blog korang berkembang dengan lebih baik. Dan sekadar pengetahuan korang, artikel berkualiti biasanya tidak mendapat trafik blog secara mendadak.

Enjin carian seperti Google memerlukan masa untuk mengindeks artikel baru. Ini bermaksud walaupun artikel berkualiti, ia mungkin mengambil beberapa minggu sebelum ia mula muncul dalam hasil carian.

Selain itu, Algoritma enjin carian sentiasa berubah. Artikel mungkin tidak mendapat trafik segera kerana algoritma baru mungkin mempengaruhi cara artikel dinilai dan dipaparkan.

Mendapatkan trafik yang konsisten memerlukan usaha berterusan dalam mengoptimumkan artikel, mempromosikan kandungan, dan meningkatkan keterlibatan pembaca.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat semua. 

Note: Ini berdasarkan pengalaman dan cara aku sendiri dalam menghasilkan artikel yang berkualiti.

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama
Belajar Buat Blog | Panduan BlogTitle of a News Article Belajar Buat Blog | Panduan Blog Belajar Buat Blog | Panduan Blog